Rencana

Rencana Cover Img
07 Okt, 2024
Sejati MADANI - Perubahan Ekonomi di Kota Lama Menerusi Projek Ikan Keli Sangkar

Usaha kerajaan melalui Program Sejati Madani yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 mula menunjukkan hasil. Di Kampung Dusun, Kota Lama, projek penternakan ikan keli sangkar bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu tetapi juga memberi ilmu kemahiran kepada penduduk.

Dilancarkan pada Ogos lepas, projek ini melibatkan 16 peserta dari kalangan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP). Ramai daripada mereka terdiri daripada golongan belia yang tiada pendapatan tetap atau lepasan sekolah.

Peserta projek, Mohd Hashim Che Kar, berkongsi bahawa komuniti bersama-sama menjaga 80,000 benih ikan keli dengan jadual tugas tersusun. Sokongan daripada agensi kerajaan turut membantu peserta menguasai teknik penternakan yang berkesan.

Seorang lagi peserta, Siti Sarah Hashim, menyatakan bahawa projek ini telah membuka ruang untuk mereka belajar kemahiran baharu seperti teknik pemasaran dan pengurusan akuakultur. Selain menjual ikan keli segar, mereka turut menghasilkan produk seperti keli pekasam, ikan berempah, dan makanan sejuk beku lain bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.

Dengan potensi pengeluaran 100 kilogram ikan keli sehari, projek ini mampu mencapai jualan kasar sekitar RM65,000 sebulan pada harga RM8.50 sekilogram. Melihat kepada permintaan tinggi daripada peniaga dan peruncit, peserta bercadang untuk menambah lagi benih dan sangkar.

Program Sejati Madani ini bertujuan menghidupkan ekonomi komuniti dengan dana sehingga RM100,000 bagi komuniti yang layak, memperkukuh kedudukan ekonomi di peringkat akar umbi dan memperkasakan kemahiran peserta dalam bidang akuakultur.

Sumber: Astro Awani