Rencana

Rencana Cover Img
09 Okt, 2024
Program IPR - Pendekatan Baharu Untuk Rakyat Jana Pendapatan

Di tengah-tengah kesibukan kota, Zainab Dali, 53, melihat peluang untuk menambah pendapatan dengan menjual makanan melalui mesin layan diri. Berbekalkan pengalaman dalam perniagaan katering, beliau menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi, memilih untuk menyediakan nasi goreng dan spageti sebagai menu jualannya.

Dalam tempoh setahun, kesungguhan Zainab berbaloi apabila perniagaannya kini menjana antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, membantu beliau menyara keluarga termasuk seorang kakak OKU dan anak buah.

“Saya tak malu mengaku saya golongan B40. Kita kena usaha ubah nasib sendiri, lebih-lebih lagi dengan kos hidup di ibu kota yang tinggi,” kata Zainab.

Setiap hari, Zainab bangun awal untuk menyediakan makanan dan mengisi stok di Stesen MRT Ampang Park. Pada hari kami bertemu, beliau sibuk menambah stok di mesin layan diri selepas jualan pagi laris.

“Sekarang semuanya mudah, tekan, imbas, dapat makanan. Saya buat kajian sebelum mulakan perniagaan ini dan dapati orang bandar suka makanan ringkas dan cepat,” jelasnya.

Zainab menguruskan perniagaan ini sendirian, namun bercadang untuk mengambil pekerja bagi membantu operasi.

“Program IPR bukan sahaja membantu saya, tetapi memberi peluang kepada saya untuk menggaji pekerja dan membantu orang lain,” tambahnya.

Seorang lagi peserta IPR, Normaladiana Mohd Yazal, 37, seorang OKU fizikal, turut meraih pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dengan menjual sandwic, kek, dan roti sosej di Universiti Malaya (UM).

“Walaupun ada kekangan fizikal, saya tetap bersyukur. Setiap hari saya tukar menu supaya pelanggan tidak bosan. Dengan jualan harian sekitar RM70 hingga RM80, ia sudah cukup baik bagi saya,” katanya.

Program IPR bukan sekadar meningkatkan pendapatan, tetapi juga membantu peserta berdikari dan mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain. Usaha kerajaan melalui inisiatif ini jelas memberi impak positif, mendorong lebih ramai rakyat mencari peluang ekonomi yang bersesuaian dengan keperluan komuniti bandar.

Berita Penuh: Berita Harian