Rencana

Rencana Cover Img
13 Okt, 2023
Pelaksanaan MySTEP Ditambah Baik dan Lebih Inklusif

Tahukah anda tentang Program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP)?

MySTEP mula dilancarkan pada tahun 2021 bertujuan untuk menawarkan peluang pekerjaan jangka pendek secara kontrak di Sektor Awam, Agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan rakan strategik.

Program ini disediakan khusus buat warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas daripada pelbagai latar belakang akademik, sebagai salah satu usaha Kerajaan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di samping memberi pengalaman kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Sejak pelancarannya sehingga 2023, lebih 150,000 penempatan pekerjaan jangka pendek secara kontrak telah berjaya dilaksanakan di bawah MySTEP. Kini, di bawah Belanjawan 2024, Kerajaan bersetuju agar semua lantikan MySTEP disediakan tawaran mengikuti program peningkatan kemahiran di bawah platform MyFutureJobs serta dipadankan pekerjaan untuk mereka demi membina kerjaya masa hadapan yang lebih baik, sekaligus mendapat pendapatan yang lebih tinggi.

Di samping itu, dasar 1 peratus Peluang Pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) akan turut diperluaskan kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP di mana golongan rentan ini yang mengikuti program MySTEP akan ditawarkan penempatan secara kontrak dengan bayaran elaun sebanyak RM1,500 untuk tempoh 6 bulan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung program MySTEP, sila layari https://mystep.mof.gov.my/form, sebuah Portal yang telah dibangunkan bertujuan memudahkan pemohon untuk menyertai program MySTEP dengan hanya mengisi borang digital dan memuat naik rēsumē di mana-mana mereka berada, pada bila-bila masa.

Selain program MySTEP, Belanjawan 2024 turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan serta insentif berkaitan pekerjaan dan pendapatan di bawah pelaksanaan pelbagai Agensi dan Kementerian. Bagi memudahkan carian untuk mendapatkan maklumat bantuan-bantuan tersebut, sila layari Portal Manfaat.