Rencana

Rencana Cover Img
15 Okt, 2023
Berita Gembira Buat Penggiat Seni dan Industri Kreatif Negara

Berita baik untuk penggiat industri kreatif negara! Cakna dengan keperluan penggiat tempatan, Belanjawan MADANI 2024 yang diumumkan YAB Menteri Kewangan tampil dengan pelbagai inisiatif menyokong memperkasa dan merancak penghasilan karya oleh penggiat industri kreatif negara.

Ujar beliau, “Bakat-bakat kreatif tempatan akan terus disokong bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia. Kerajaan menyediakan 160 juta ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni.”

Antara inisiatif yang dibiaya dan akan dilaksanakan adalah meliputi penyediaan dana seperti:

  1. Dana Kandungan Digital bagi mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan (RM60 juta);
  2. Inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) bagi menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa (90 juta); dan
  3. Dana Padanan MyCreative bagi menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif (RM10 juta).


Sementara itu, langkah yang tentunya ditunggu-tunggu dan menggembirakan bagi penggiat industri turut mendapat perhatian Kerajaan. YAB Menteri Kewangan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu seperti berikut:

  1. Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan;
  2. Pengurangan kepada 5 peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator; dan
  3. Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.


Dalam hubungan penurunan duti hiburan, YAB Menteri Kewangan turut mencadangkan supaya langkah yang sama dituruti Kerajaan Negeri. “Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru Kerajaan Negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat- bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.”

Selaras langkah untuk meletakkan negara di persada industri perfileman dunia melalui penggalakkan masuk produksi filem asing ke Malaysia dan seterusnya menyaingi tawaran insentif negara lain, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Sumbangan tokoh-tokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan turut tidak dilupakan. Sebagai usaha mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka, Kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.

Adalah diharapkan melalui inisiatif yang telah dirangka ini, industri kreatif negara akan lebih rancak menuju ke mercu yang lebih tinggi.  

Ketahui dengan lebih lanjut pelbagai inisiatif lain berkaitan industri kreatif di bawah Belanjawan MADANI 2024 dengan melayari Portal Manfaat.