Rencana

Rencana Cover Img
16 Okt, 2024
Bantuan Awal Persekolahan Ringankan Beban Ibu Bapa

Kos menyediakan keperluan sekolah sering menjadi antara perbelanjaan terbesar bagi isi rumah, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah. Namun, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024 memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan sempurna.

Antara penerima manfaat BAP adalah Hajibah Alan, seorang penjual pisang goreng di Kampung Muara Tebas. Dengan empat orang anak dan suami yang bekerja sebagai buruh kasar, pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung keperluan asas, terutama bagi dua anak yang masih bersekolah.

Hajibah bersyukur kerana bantuan sebanyak RM150 untuk setiap anak membantu meringankan beban mereka.

“Anak yang baru masuk Tingkatan 1 memang banyak barang kena beli. Bantuan ini saya gunakan untuk beli baju sekolah, alat tulis, dan kasut sukan. Keseluruhan belanja lebih kurang RM250, jadi saya tambah dalam RM100 lagi,” jelasnya.

Bagi anaknya, Putri Qhalisha Arissa Mahadir, pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Kebangsaan Bako, bantuan tersebut membolehkannya melengkapkan semua keperluan sekolah.

“Sekarang saya dah ada baju, kasut, kalkulator, dan alat tulis yang baru. Seronok nak ke sekolah!” katanya, penuh teruja.

BAP bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar seperti Putri untuk memulakan tahun persekolahan dengan lebih yakin dan bersedia. Program ini mencerminkan usaha kerajaan dalam memastikan pendidikan kekal sebagai jalan terbaik untuk mengubah kehidupan keluarga dan masa depan anak-anak.

Bantuan Awal Persekolahan disalurkan kepada lebih 5.2 juta pelajar di seluruh negara tahun ini, dengan peningkatan jumlah sumbangan daripada RM100 kepada RM150 berbanding 2022. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih mudah dan inklusif bagi setiap anak di Malaysia.

Berita Penuh: Astro Awani