eMadani

 

eMadani
 
 
No.Soalan

1

Apakah inisiatif eMADANI?

  • Program eMADANI merupakan satu inisiatif Kerajaan yang telah diumumkan di bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.
  • Program ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai di samping meringankan beban kewangan rakyat.
  • Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia, melalui tawaran kredit eMADANI bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.
  • Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan ‘coins’.  
     

2

Siapakah yang layak menerima kredit eMADANI ini?

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia; dan
  2. Mencapai umur 21 tahun ke atas pada tahun 2023; dan
  3. Merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada  7 November 2023 ATAU mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 15 Julai 2023. 
     

Anda juga perlu memenuhi langkah verifikasi identiti secara elektronik  ‘Know-Your-Customer’ (eKYC) dengan penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan anda sebelum permohonan kredit eMADANI boleh dibuat. 

3

Saya hanya akan mencapai umur 21 tahun pada akhir tahun 2023, adakah saya layak untuk program ini?

Ya, warganegara Malaysia yang mencapai umur 21 tahun pada tahun 2023 adalah layak untuk program ini, tertakluk juga kepada syarat dalam Soalan 2 di atas.

4

Saya pernah menerima eBeliaRahmah sebelum ini. Adakah saya turut layak menerima eMADANI?

Penerima eBeliaRahmah tidak layak untuk program ini kerana mereka telah menerima manfaat daripada kredit eBeliaRahmah yang diperkenalkan untuk memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

5

Saya merupakan graduan baharu yang baru mula bekerja. Saya pernah menerima kredit eBeliaRahmah sebelum ini sebagai pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi berdaftar; adakah saya layak untuk program ini?

Tidak, pemohon yang telah menerima kredit eBeliaRahmah tidak layak untuk program ini.

6

Bilakah program ini akan bermula dan berakhir? Adakah kredit eMADANI dan insentif yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet mempunyai tarikh luput?

  • Permohonan kredit eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, mulai jam 8.00 pagi, 4 Disember 2023 hingga 11.59 malam, 20 Februari 2024.
  • Setelah kredit berjaya dipohon, ia perlu dibelanjakan selewat-lewatnya pada 11.59 malam, 29 Februari 2024. Selepas tarikh akhir ini, baki kredit eMADANI yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet pemohon.
  • Insentif yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet bergantung kepada polisi masing-masing. Sila rujuk pengumuman kempen penyedia perkhidmatan e-dompet tersebut untuk maklumat lanjut.
     

7

Di manakah saya boleh membuat tuntutan kredit eMADANI ini?

Penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam program ini ialah:

  1. MAE;
  2. Setel;
  3. ShopeePay; dan
  4. Touch ‘n Go eWallet.
     

8

Bagaimana saya boleh memohon kredit eMADANI?

Proses verifikasi bagi pengguna baharu dan sedia ada boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat.

Langkah 1: Muat turun aplikasi e-dompet terlibat di Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.

Langkah 2: Bagi pengguna baharu atau sedia ada, ikuti arahan yang disediakan dalam aplikasi  e-dompet tersebut.

Langkah 3: Penyedia perkhidmatan e-dompet akan membuat verifikasi identiti anda secara elektronik 'Know-Your-Customer' (eKYC).

Langkah 4: Pada aplikasi e-dompet pilihan anda, sila masukkan maklumat yang diperlukan di halaman tuntutan eMADANI dan tekan “Hantar”.

Langkah 5: Anda akan dimaklumkan sekiranya tuntutan berjaya.

Penerima yang layak hanya boleh menuntut kredit eMADANI daripada satu (1) penyedia perkhidmatan e-dompet sahaja. Sila rujuk aplikasi e-dompet masing-masing untuk maklumat lanjut mengenai penebusan kredit eMADANI.

9

Apakah yang boleh saya beli menggunakan kredit eMADANI tersebut?

Anda boleh menggunakan kredit RM100 eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit/perniagaan melalui e-dompet pilihan anda, KECUALI:

  1. Pemindahan 'peer-to-peer';
  2. Penebusan tunai;
  3. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  4. Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  5. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  6. Pembelian permainan ('games') terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  7. Bayaran tempat letak kereta dan/atau tol;
  8. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; dan 
  9. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.
     

10

Adakah saya dibenarkan untuk membuat pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai?

Tidak dibenarkan. Kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai. 

11

Mengapakah saya tidak dibenarkan untuk membuat pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai?

Program eMADANI adalah bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. Oleh itu, kredit eMADANI hanya digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat atau QR DuitNow.

Jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan 'peer-to-peer' atau  penebusan tunai, pihak Kerajaan akan mengambil langkah untuk menyekat akaun yang terlibat dan melucut hak kredit mereka.

12

Terdapat tawaran penebusan tunai bagi kredit eMADANI di laman media sosial, adakah ia dibenarkan?

Anda dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang taktik penipuan oleh 'scammer' yang menawarkan penebusan tunai bagi kredit eMADANI atau tawaran-tawaran lain kerana ini akan memberi risiko terhadap kehilangan kredit anda.

Pihak Kementerian Kewangan tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

13

Bilakah saya akan mendapat tuntutan kredit RM100 eMADANI?

Sekiranya anda memenuhi kelayakan eMADANI dan telah melalui proses verifikasi eKYC, anda akan menerima RM100 secara ‘one-off’ ke dalam e-dompet pilihan anda. Mengikut kebiasaan, proses ini mengambil masa 24 jam sehingga 5 hari dari tarikh permohonan.

14

Bilakah saya akan menerima insentif tambahan e-tunai daripada penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam program ini?

Ini bergantung kepada penyedia perkhidmatan e-dompet masing-masing berdasarkan polisi kempen yang ditawarkan. Sila rujuk maklumat kempen penyedia perkhidmatan e-dompet tersebut.

15

Bagaimana maklumat peribadi saya diperolehi dan adakah maklumat tersebut dilindungi?

  • Data berkenaan kewarganegaraan, umur, penerima STR serta pendapatan atau data-data lain yang berkaitan akan diperolehi dan disahkan melalui jabatan Kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan LHDNM. Data peribadi tersebut tidak akan dikongsikan dengan penyedia perkhidmatan e-dompet.
  • Sebarang masalah privasi data yang berkaitan dengan e-dompet tertakluk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA). 
     

16

Saya merupakan peruncit luar talian yang tidak mempunyai fasiliti pembayaran e-dompet. Bolehkah penerima eMADANI berbelanja di premis saya?

Tidak. Peruncit digalakkan untuk menyertai platform e-dompet yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow agar penerima eMADANI boleh berbelanja kredit eMADANI mereka di kedai anda. 

17

Mengapa permohonan saya lambat diluluskan?

Anda dinasihatkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan e-dompet yang anda pilih untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kelewatan tersebut. Anda mungkin perlu mengemukakan maklumat tambahan contohnya menghantar salinan kad pengenalan, untuk tujuan verifikasi. 

Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan eMADANI, berikut merupakan butiran yang boleh dihubungi:

  1. MAE: 1300-88-6688 atau emel ke [email protected]
  2. Setel: Emel ke [email protected] atau klik di sini
  3. ShopeePay: +603-2777 9222 atau klik di sini
  4. Touch ‘n Go eWallet: +603-5022 3888 atau klik di sini 
     

18

Bagaimanakah saya akan tahu sama ada saya layak?

Anda akan menerima notifikasi tentang status permohonan daripada penyedia perkhidmatan  e-dompet pilihan anda setelah anda membuat permohonan dalam aplikasi e-dompet tersebut.

19

Adakah saya akan dimaklumkan sekiranya permohonan saya gagal?

Ya, anda akan menerima notifikasi tentang status permohonan daripada e-dompet pilihan anda.

20

Adakah terdapat proses bagi sebarang pertikaian ('dispute’)?

Ya. Sebarang pertikaian boleh dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan anda, dan pihak penyedia perkhidmatan e-dompet akan membantu anda.

Bagi permohonan yang gagal akibat pengenalan diri tidak sah, anda mungkin perlu menghantar maklumat tambahan untuk verifikasi semasa proses pertikaian.

21

Mengapa RM100 yang saya terima tidak boleh digunakan untuk pembelian dalam talian?

Inisiatif eMADANI adalah untuk kegunaan secara fizikal. Ini seiring dengan objektif Kerajaan untuk meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan peruncit, terutama sekali dalam sektor PMKS.

Pada masa yang sama, baucar, 'coins', diskaun dan inisiatif tambahan lain yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet layak untuk digunakan dalam talian dan luar talian.

22

Terdapat perniagaan/peruncit fizikal yang tidak mempunyai penyedia perkhidmatan  e-dompet pilihan saya sebagai kaedah pembayaran. Bagaimana cara untuk saya membuat pembayaran?

Anda boleh menggunakan kod QR DuitNow bagi membolehkan pembayaran dibuat. Kesemua penyedia perkhidmatan e-dompet di bawah inisiatif eMADANI mesti didaftarkan dengan DuitNow.

Oleh itu, jika peruncit pilihan anda tidak membawa kod QR e-dompet pilihan anda, pembayaran masih boleh dibuat dengan menggunakan kod QR DuitNow.

23

Bagaimana empat (4) penyedia perkhidmatan e-dompet tersebut dipilih untuk program ini? 

Kerajaan telah mengundang 10 penyedia perkhidmatan e-dompet utama (berdasarkan volum transaksi dan pengguna aktif) untuk bekerjasama dalam program ini dengan garis panduan serta terma dan syarat program yang telah ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MoF). Ini termasuk kemampuan memenuhi syarat teknikal program, perkongsian kos serta insentif e-tunai tambahan yang akan ditawarkan untuk dipadankan dengan kredit eMADANI yang diberikan oleh Kerajaan.  

Setelah melalui proses perbincangan dan penilaian, empat (4) penyedia perkhidmatan  e-dompet iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet telah memberi komitmen penyertaan dalam program ini. Kesemua syarikat e-dompet ini secara keseluruhan mempunyai lebih 10 juta pengguna dan mempunyai jaringan lebih 2 juta peniaga di dalam dan di luar talian. Jaringan yang kukuh dan luas membolehkan program ini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.  

24

Saya baru mendaftar sebagai pembayar cukai pada 16 Julai 2023; adakah saya boleh memohon progam eMADANI, walaupun mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun?

Tidak layak. Untuk maklumat lanjut senarai penuh kelayakan eMADANI, sila rujuk Soalan 2.