Sesi Libat Urus Bersama-sama Wakil Persatuan Kontraktor Bumiputera
Sewaktu sesi libat urus bersama wakil persatuan kontraktor Bumiputera, perbincangan tertumpu kepada usaha memastikan inisiatif Belanjawan 2027 dapat dimanfaatkan sebaiknya, khususnya oleh kontraktor kecil.
Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion, berbanding RM4 bilion tahun ini. Langkah ini bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk membina keupayaan, mengembangkan perniagaan dan melaksanakan projek yang diperlukan rakyat.
Tatacara perolehan turut dipermudah, termasuk menaikkan had lantikan terus bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti kerajaan sehingga RM200,000, selain kemudahan pembiayaan serta langkah menangani kenaikan kos diesel dan bitumen.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berhasrat peluang ini dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti. Setiap projek adalah amanah kepada rakyat yang mesti dilaksanakan dengan mutu terbaik, mengikut jadual dan penuh tanggungjawab.