Penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 4 Kepada 5.4 Juta Penerima Mulai 4 November 2026
Seperti diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa tinjauan persiapan sambutan Deepavali di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini Kerajaan MADANI akan menyalurkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima.
Bayaran kepada penerima sedia ada akan dibuat secara berperingkat mulai 4 hingga 6 November 2026, manakala penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bayaran mulai 16 November 2026.
Daripada jumlah itu, 4.0 juta merupakan penerima isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas tiada pasangan. Mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
“Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama. Oleh itu, melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Kerajaan MADANI mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok yang memerlukan agar kita semua dapat mengecapi kehidupan yang lebih bermaruah,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“Menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan saya agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun. Bantuan ini melengkapi usaha Kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” tambah beliau.
Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing. Penerima tanpa akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan yang layak, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diingatkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.
Penerima yang terlibat disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk tahun 2027. Pengemaskinian ini penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan maklumat terkini penerima.
Penstrukturan semula kewangan Kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.
Maklumat lanjut, semakan status dan soalan lazim (FAQ) STR boleh didapati melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat SARA boleh dirujuk di sara.gov.my.
Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
4 November 2026
↓ Muat Turun: Penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 4 Kepada 5.4 Juta Penerima Mulai 4 November 2026