Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Stesen Minyak Disyaki Salah Guna Subsidi BUDI MADANI
Kerajaan MADANI telah mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang, susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI.
Tindakan ini diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima BUDI MADANI yang mendapati maklumat MyKad masing-masing telah digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi. Kesemua pengadu telah membuat laporan polis.
Susulan aduan tersebut, Kementerian Kewangan (MOF) telah menjalankan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan. Semakan mendapati lebih 1,000 transaksi yang menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan. Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi Kerajaan berjumlah lebih RM270,000.
Sehubungan itu, MOF telah mengambil tindakan berikut:
- Menyekat stesen minyak berkenaan daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI.
- Menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak tersebut, dengan jumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.
- Menyekat sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka, daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.
Selain itu, MOF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan, dan kini sedang meneliti rekod transaksi mereka. Sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi, tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap mereka.
BUDI MADANI telah dirangka untuk memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia, mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan. Subsidi ini merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi.
Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasaran subsidi, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api.
Kerajaan MADANI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan BUDI MADANI. Kerajaan sentiasa memantau transaksi BUDI MADANI dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
27 Oktober 2026