Kabin Bekalan Makanan Antara Manifestasi Kampung Angkat MADANI Buat Warga Tioman
ROMPIN, 28 Sept (Bernama) -- Kabin bekalan makanan antara manfaat utama yang bakal dinikmati penduduk Pulau Tioman di sini bagi menghadapi musim tengkujuh menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Dua unit kabin bekalan makanan yang akan ditempatkan berhampiran marina dan Pejabat Pentadbiran Pulau Tioman di Kampung Tekek itu sedang dibina di kilang dan dijangka siap dipasang pada hujung Oktober 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kampung Tekek, Abd Hafaz A Hamid berkata kabin itu menyediakan ruang simpanan yang lebih teratur bagi menempatkan bekalan makanan kering untuk kegunaan penduduk ketika bekalan sukar diperoleh ekoran keadaan laut dan cuaca tidak menentu.
“Setiap tahun kami menerima bantuan bekalan makanan yang merupakan anugerah daripada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencukupi untuk keperluan kira-kira 1,800 penduduk kampung ini serta pelancong yang terkandas khususnya ketika musim tengkujuh.
“Namun kami tidak mempunyai tempat simpanan khas seperti balai raya untuk menyimpan bekalan berkenaan menyebabkan bekalan makanan terpaksa dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.
Selain kabin bekalan makanan, inisiatif Kampung Angkat MADANI MOF turut merangkumi pelbagai projek lain bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat serta merancakkan industri pelancongan di Pulau Tioman.
Antaranya projek menaik taraf tempat letak motosikal awam di Jeti Penumpang Kampung Tekek yang bakal bermula 5 Okt ini dan dijangka siap pada 28 Dis 2026.
Penduduk kampung Kamsiah Ariffin, 64, berkata kemudahan tersebut dapat melindungi motosikal penduduk yang ditinggalkan selama beberapa hari di jeti ketika mereka keluar dari Tioman.
“Kadang-kadang saya keluar lama sampai seminggu. Bila balik motosikal sudah kena hujan dan ada kalanya tidak boleh dihidupkan,” katanya.
Bagi Kampung Juara pula, MOF melaksanakan pemasangan 10 unit lampu solar di jeti awam bermula 1 Okt ini dan dijangka siap pada 1 Dis 2026.
Penduduk Kampung Juara, Myya Mohd Yatim, 55, berkata kemudahan itu akan memudahkan penduduk yang menggunakan jeti berkenaan ketika waktu malam untuk pelbagai urusan termasuk aktiviti perikanan dan pelancongan.
“Perkhidmatan kargo di sini ikut jadual dan kadang-kadang ada sehingga tengah malam, dan urusan memunggah barang juga berlangsung sehingga sekitar 8 malam, jadi kalau tiada lampu agak sukar untuk melakukan urusan di jeti.
“Dengan ada lampu tentunya keadaan lebih baik kerana kadang-kadang pada waktu malam pelancong mahu bersantai di sekitar kawasan ini,” katanya.
Selain itu, Kementerian Kewangan turut melaksanakan projek pembaikan sementara cerun yang mengalami runtuhan tanah dan batu di laluan Kampung Tekek menuju Kampung Juara demi keselamatan penduduk.
Pembaikan cerun itu akan dilaksanakan pada 5 Okt dan dijangka siap pada 28 Dis 2026.
Secara keseluruhannya sebanyak 26 projek melibatkan pembangunan infrastruktur dan program komuniti bernilai RM3.54 juta dilaksanakan MOF menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI bagi empat kampung di Tioman termasuk Kampung Salang dan Kampung Genting.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengadakan lawatan kerja di Tioman pada 26 hingga 27 Sept 2026 bersempena dengan Siri Jelajah Belanjawan di Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan di Pulau Tioman.