Harga Petrol Tanpa Subsidi Turun 5 Sen Seliter, Diesel Tanpa Subsidi Turun 10 Sen Seliter
Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 5 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi menurun sebanyak 10 sen seliter, bagi tempoh 15 Oktober hingga 21 Oktober 2026.
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM5.10 seliter (harga 14 Oktober 2026: RM5.15 seliter) | Turun 5 sen |
| RON95 | RM4.62 seliter (harga 14 Oktober 2026: RM4.67 seliter) | Turun 5 sen |
| Diesel | RM5.17 seliter (harga 14 Oktober 2026: RM5.27 seliter) | Turun 10 sen |
Walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan.
China telah membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau. Perkembangan ini membantu meredakan tekanan terhadap bekalan.
Namun begitu, konflik di Asia Barat yang semakin meluas, termasuk serangan di Arab Saudi pada minggu lalu, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum. Ketidaktentuan harga dijangka berterusan dalam jangka sederhana.
Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini. Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan. Langkah ini bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kelangsungan mata pencarian rakyat.
Perlindungan melalui BUDI MADANI
Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.62 seliter. Ini bermakna
Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.63 seliter, bersamaan 57% daripada harga tanpa subsidi.
Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.17 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM3.07 seliter, atau 59% daripada harga tanpa subsidi.
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (BUDI Diesel) | RM2.10 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 Oktober 2026
↓ Muat turun: Harga Petrol Tanpa Subsidi Turun 5 Sen Seliter, Diesel Tanpa Subsidi Turun 10 Sen Seliter