Bayaran STR Fasa 4 Disalur Bermula Hari Ini - MOF
PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan menyalurkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima secara berperingkat mulai hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bayaran kepada penerima sedia ada akan dilaksanakan dari 4 hingga 6 Nov, manakala penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bayaran mulai 16 Nov ini.
Daripada jumlah itu, empat juta merupakan penerima isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas tiada pasangan.
Mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran hingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok yang memerlukan melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama.
"Menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan saya agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.
"Bantuan ini melengkapi usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat," kata beliau.
Sementara itu, MOF memaklumkan penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing, manakala penerima tanpa akaun bank boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan yang layak, MOF menyatakan 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diingatkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.
"Penerima yang terlibat disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk 2027.
"Pengemaskinian ini penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan maklumat terkini penerima," menurut kenyataan MOF.
Maklumat lanjut, semakan status dan soalan lazim (FAQ) berkaitan STR boleh didapati melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat SARA boleh dirujuk di sara.gov.my.
MOF turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini.
Dalam pada itu, menurut MOF, penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.
Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.