Permohonan DibukaKumpulan Wang Simpanan PekerjaKewangan dan Sara Hidup
i-Saraan Plus
Insentif padanan bagi pekerja e-hailing dan p-hailing untuk caruman dan simpanan hingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup.
StatusPermohonan Dibuka
AgensiKumpulan Wang Simpanan Pekerja
Untuk SiapaIndividu dan Keluarga
Pengenalan
i-Saraan Plus adalah inisiatif caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang direka khas untuk pemandu e-hailing dan p-hailing. Program ini membantu anda membina simpanan hari tua dengan sokongan insentif khas daripada kerajaan, mengikut syarat yang ditetapkan.
Melalui program ini, syarikat platform e-hailing atau p-hailing anda akan membuat caruman sukarela untuk anda menerusi i-Akaun (Majikan). Langkah ini membolehkan anda menikmati pelbagai keistimewaan untuk masa depan yang lebih terjamin.
Manfaat untuk Anda
Insentif Khas Kerajaan: Anda layak menerima tambahan 20% (sehingga maksimum RM600 setahun) daripada jumlah caruman sukarela yang dibuat pada tahun semasa.
Pelepasan Cukai: Nikmati kelebihan pelepasan cukai pendapatan yang tertakluk kepada terma dan syarat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dividen Tahunan: Simpanan persaraan anda akan terus berkembang melalui pemberian dividen tahunan KWSP.
Bantuan Kematian: Layak menerima bantuan kewangan kematian tertakluk kepada terma dan syarat semasa KWSP.
Had Caruman yang Ditetapkan
Minimum Caruman: Serendah RM1, bergantung pada saluran pembayaran yang anda gunakan.
Maksimum Caruman: Sejumlah RM100,000 setahun. Had ini adalah had maksimum terkumpul untuk semua jenis Caruman Sukarela (merangkumi Caruman Pilihan Sendiri, i-Saraan, i-Suri, dan Caruman Penambahan Simpanan Akaun Persaraan) menerusi semua saluran bayaran.
Syarat Utama
Ahli KWSP yang berdaftar di bawah i-Saraan
Warganegara Malaysia
Berumur 60 tahun ke bawah; dan
Individu yang bekerja sebagai pemandu e‑hailing dan/atau p‑hailing. Caruman perlu dibuat melalui penyedia perkhidmatan di bawah sektor e‑hailing dan/atau p‑hailing untuk melayakkan diri sebagai peserta i-Saraan Plus
Cara Mohon
1
i. Penyertaan i‑Saraan Plus adalah secara automatik apabila individu membuat bayaran caruman melalui penyedia platform di bawah sektor e‑hailing dan/ atau p‑hailing.
2
Nota: Pemandu e-hailing dan/atau p-hailing perlu mendaftar i-Saraan terlebih dahulu, manakala pemandu yang telah berdaftar tidak perlu mendaftar semula.