Terakhir dikemas kini pada 04/03/2025
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE X) merupakan inisiatif Kerajaan berbentuk latihan di bawah Belanjawan 2025 yang disediakan oleh SME Corp Malaysia bertujuan untuk menggalakkan kepada generasi belia yang berkelayakan untuk menceburi bidang perniagaan.
Objektif utama Program TUBE X ini adalah untuk:
Memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
Anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan
Membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri
Program ini dirancang khusus untuk mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar menerusi dua (2) fasa pelaksanaan iaitu:
FASA 1: Bengkel Asas Keusahawanan selama tujuh (7) hari.
Peserta akan mempelajari pelbagai elemen perniagaan seperti Jualan dan Pemasaran, Pengurusan Pentadbiran dan Sumber Manusia, Pengurusan Operasi dan Pengurusan Kewangan, Pendaftaran Perniagaan, Penjenamaan, Harta Intelek, Peraturan dan Undang-Undang Perniagaan serta Pendigitalan Perniagaan. Selain itu, peserta juga akan mendapat maklumat kemudahan bantuan oleh Kerajaan dan institusi perbankan. Di Fasa ini juga peserta seterusnya perlu menyediakan Business Model Canvas (BMC) dan membentangkan cadangan Rancangan Perniagaan (RP).
FASA 2: Rancangan Perniagaan (RP) selama dua belas (12) bulan.
Peserta yang berjaya menamatkan Fasa 1 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa Sesi Pith2Match. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilantik oleh SME Corp. Malaysia bagi memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi agar perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan serta relevan dalam industri.
Permohonan dalam talian dibuka mulai 16 Disember 2024 hingga 3 Januari 2025 sahaja. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Laman Rasmi TUBE.
Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera berumur di antara 18 - 30 tahun semasa tarikh tutup permohonan;
Telah mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) / Ordinan Negeri dan pendaftaran perniagaan hendaklah kurang 36 bulan sewaktu tarikh tamat permohonan dalam talian (14 Januari 2024);
Keutamaan akan diberikan kepada pemohon seperti berikut :
Telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya tiga (3) / enam (6) bulan jika belum mendaftarkan perniagaan (perlu menunjukkan bukti transaksi perniagaan semasa latihan fizikal);
Mempunyai Sijil Kemahiran / Sijil Teknikal (TVET) daripada mana-mana institusi atau pusat latihan kemahiran;
Pelajar Teknousahawan atau graduan Teknousahawan daripada mana-mana institut pengajian tinggi atau pusat latihan kemahiran;
Telah memiliki akaun semasa syarikat.
Sihat tubuh badan / tidak mengalami masalah kesihatan yang kronik / tidak hamil / tidak berada dalam tempoh berpantang kerana melahirkan anak dan komited untuk mengikuti latihan secara fizikal di di lokasi latihan yang akan ditetapkan oleh SME Corp. Malaysia (7.00 pagi hingga 11.00 malam).
Pemohon hendaklah.
Tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah;
Tidak pernah diisytiharkan muflis
Bukan dalam senaraihitam oleh CTOS; dan
Bebas dari status / proses kebankrapan dan / atau proses tindakan Mahkamah
Pemohon bukan merupakan keluarga terdekat dengan mana-mana pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia. Definisi keluarga terdekat adalah seperti berikut:
Isteri atau suami pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia;
Adik atau abang atau kakak pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia;
Orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
Orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan isteri atau suami pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
Orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke bawah dengan orang yang disebut dalam perenggan b
Bapa saudara, emak saudara atau sepupu pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
Menantu pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
Bagi pemohon yang merupakan pasangan suami isteri atau adik-beradik
Hanya salah seorang sahaja yang layak / boleh dipertimbangkan menyertai program pada tahun semasa.
Hanya salah seorang sahaja daripada pasangan suami / isteri / adik-beradik untuk setiap pengambilan.
Pemohon tidak bekerja:
Pekerjaan sama ada di dalam sektor awam atau sektor swasta; atau
Pekerjaan sama ada bertaraf tetap, kontrak, sambilan atau sementara; atau
Bagi pekerja sambilan yang terpilih, beliau perlu berhenti dan menumpukan sepenuh perhatian bagi menjalankan perniagaan.
Pemohon tidak pernah menyertai program TUBE sebelumnya seperti TUBE 1.0 hingga TUBE 9.0, TUBE@IPT, TUBE@PENJANA, TUBE@PEMERKASA, TUBE@TVETMARA dan TUBE@Mikro Madani.
Pemohon yang pernah atau telah mengikuti sepenuhnya Fasa 1 dan Fasa 2 bagi latihan yang diadakan secara fizikal atau Fasa 1 bagi latihan yang diadakan secara dalam talian tetapi tidak dipertimbangkan GP semasa tamat Program TUBE yang disertai adalah tidak lagi layak memohon.
Pelajar institut pengajian tinggi semester akhir di tahun akhir pengajian boleh memohon, namun:
Sekiranya memenuhi kriteria kelayakan permohonan dan diterima mengikuti program, pemohon dikehendaki untuk TIDAK menyambung pelajaran dalam tempoh satu (1) tahun / dua belas (12) bulan dari tarikh akhir sesi latihan TUBE yang disertai sebagai komitmen kepada Fasa 2 program ini; dan
Pemohon bukan dalam tempoh menjalani latihan industri semasa Program TUBE X dijalankan kelak.
Nota: Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan di atas, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan. Sekiranya didapati pemohon mengemukakan maklumat palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta.
Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian di https://mybpi.smecorp.gov.my/ mulai 16 Disember 2024 hingga 3 Januari 2025 sahaja. Permohonan hanya boleh dibuat sekali sahaja. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima.
Pemohon diwajibkan untuk mencetak makluman penerimaan permohonan untuk simpanan dan rujukan pada masa akan datang.
Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa :-
Pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan;
Pemohon mengemukakan maklumat tidak benar atau palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta
Sekiranya pemohon tidak dihubungi dalam tempoh tiga (3) bulan daripada tarikh tutup permohonan secara dalam talian, permohonan dianggap tidak berjaya.
Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan TIDAK AKAN DIPERTIMBANGKAN.
Sila rujuk Manual Pengguna atau tonton Panduan Permohonan TUBE X di YouTube.