Terakhir dikemas kini pada 17/07/2025
Bantuan Warga Emas (BWE) ialah bantuan tunai yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Belanjawan 2025. Bantuan ini bertujuan membantu warga emas miskin tegar (yang memenuhi kriteria kelayakan) untuk meneruskan kelangsungan dan mencapai kesejahteraan hidup.
Kadar bayaran bagi BWE adalah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap penerima.
Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini untuk melayari laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Syarat Kelayakan:
i. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
ii. Berumur 60 tahun dan ke atas;
iii. Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
iv. Warga Emas yang tiada anak (sebatang kara) layak dipertimbangkan bantuan sekiranya tinggal bersama/ menumpang ahli keluarga lain / penjaga yang mempunyai pendapatan melebihi PGK Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa / PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; dan
v. Warga emas yang bukan tinggal di institusi kendalian JKM atau Pusat jagaan harian / berkediaman (yang menerima Geran Rangsum) dan memberi kemudahan/ perkhidmatan secara percuma.
vi. Kes-kes yang melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa atau lain-lain perkara yang munasabah dan berkeperluan, boleh dipertimbang dan diluluskan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri / Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Labuan (PKMN / WPKL / WPL).
Nota: Pengiraan umur warga emas adalah berasaskan tahun kelahiran